SPM 2016 catat GPN lebih baik Khamis, (16 Mac 2017 @ 12:05 PM)

https://assets.bharian.com.my/images/articles/datuk_khair.jpg.transformed_0.jpg

KETUA Pengarah Pelajaran,Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof mengadakan sidang media Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Putrajaya. – Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mencatat indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.10, iaitu lebih baik dengan perbezaan sebanyak 0.05 berbanding 5.15 pada 2015. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata jurang GPN antara calon bandar dengan luar bandar turut mengecil kepada 0.47 berbanding 0.50 pada 2015. Calon bandar mencatat GPN 4.89, manakala luar bandar pula 5.36, namun keputusan di kedua-dua lokasi itu menunjukkan pencapaian lebih baik berbanding masing-masing GPN 4.94 dan 5.44 pada 2015. Peningkatan prestasi itu menyaksikan pencapaian GPN oleh calon luar bandar mencatat perbezaan 0.08 pada kali ini berbanding 2015, sekali gus mengatasi perbezaan 0.05 oleh calon bandar. Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2016 di Kementerian Pendidikan di sini, pagi ini. Seterusnya, Khair berkata, seramai 340,698 atau 85.21 peratus daripada 399,822 calon yang menduduki sekurang-kurang enam mata pelajaran teras untuk kali pertama, layak dianugerahkan sijil selepas lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM 2016. “Seramai 313,667 adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, manakala baki 27,031 calon selain sekolah kementerian,” katanya. Sehubungan itu, seramai 8,647 (2.13%) calon raih keputusan cemerlang (A+, A, A-) dalam semua subjek, turun berbanding 9,721 (2.38%) calon pada SPM 2015. Sementara itu, subjek Sejarah, Matematik dan Pendidikan Moral mencatat penurunan peratusan calon mendapat keputusan cemerlang (A+, A, A-). Di KUALA TERENGGANU, Terengganu mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, dengan Gred Purata Keseluruhan (GPK) 5.02, lebih baik daripada peringkat kebangsaan 5.10. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Shafruddin Ali Hussin, berkata pencapaian itu juga lebih baik dengan perbezaan GPK sebanyak 0.04 iaitu 5.02, berbanding 5.06 tahun lalu. Beliau berkata, seramai 308 calon di negeri ini memperoleh semua A, dengan dua daripadanya memperoleh semua A+ dan jumlah itu menurun berbanding 2015 apabila seramai 355 calon memperoleh semua A dengan tujuh daripadanya semua A+. “Secara dasarnya, bilangan calon yang memperoleh semua A sedikit menurun, namun trend itu turut berlaku di peringkat kebangsaan,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2016, di JPNT di sini, hari ini. Pada majlis sama, Shafruddin turut menyampaikan slip keputusan kepada tiga pelajar cemerlang Terengganu iaitu Husna Mardhiyah Mohd Fauzi, 18, dari Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Kemaman yang memperoleh 11A+ dan Lam Sin Gee, 18, dari SM Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman (9A+).Nur Syuhada Alias, 18, dari SMK Bukit Besar, di sini, yang memperoleh 4A 1A- 1B+ 1C dan 1E, diumumkan sebagai calon berkeperluan khas (CBK) terbaik SPM2016 di negeri ini. Seramai 20,517 calon menduduki peperiksaan SPM di negeri ini tahun lalu, berbanding 20,741 calon pada 2015. Di IPOH, seramai 707 atau 2.17 peratus daripada 32,509 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Perak memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam peperiksaan berkenaan. Jumlah itu menurun berbanding 890 calon atau 2.66 peratus daripada 33,493 calon memperoleh keputusan sama pada 2015. Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris berkata, bagaimanapun indeks Gred Purata Negeri (GPN) meningkat sebanyak 0.05 mata kepada 5.17 berbanding 5.22 pada tahun 2015. Katanya, sebahagian besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang semua A terdiri daripada pelajar yang mengambil 10 mata pelajaran iaitu seramai 306 orang, diikuti sembilan mata pelajaran (275), 11 mata pelajaran (109), 12 mata pelajaran (12) dan lapan mata pelajaran (5). “Jurang pencapaian calon bandar dan luar bandar menurun sebanyak 0.01 mata GPN iaitu 0.32 pada 2016 berbanding 0.33 pada 2015. “Pencapaian calon bandar meningkat sebanyak 0.11 mata GPN iaitu 5.08 pada 2016 berbanding 5.19 pada 2015 manakala pencapaian calon luar bandar juga meningkat sebanyak 0.12 mata GPN iaitu 5.40 pada 2016 berbandibg 5.52 pada 2015,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Di KOTA KINABALU,pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah menunjukkan peningkatan 0.02 iaitu 5.64 berbanding 5.66 pada tahun 2015. Seramai 113 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Sabah berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A dalam semua mata pelajaran. Keputusan diumumkan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Kassim Mohd Ibrahim di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Shah, di sini, sebentar tadi. Seramai 16,321 calon SPM 2016 mendapat keputusan lulus dalam semua subjek berbanding 15,352 pada tahun 2015 sekali gus menunjukkan peningkatan 0.16 peratus. Pengumuman SPM 2016 juga menyaksikan Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Kinabalu diumumkan sekolah cemerlang dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.49 dan diikuti SM Sains Lahad Datu yang mendapat GPS 2.50. Di PETRA JAYA, pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sarawak 2016 mengikut Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 5.34, berbanding 5.47 pada 2015. Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon, berkata seramai 577 calon memperoleh sekurang-kurangnya memperoleh A- dalam semua mata pelajaran diambil. “Selain itu, 13 calon memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran. Daripada jumlah berkenaan seorang calon mendapat 11A+, enam calon mendapat 10A+ dan enam calon mendapat 9A+. “Secara keseluruhannya, sejumlah 26,769 atau 83.02 peratus daripada 32,245 berjaya mendapat sijil SPM,” katanya dalam pengumuman keputusan SPM di Auditorium Jabatan Pendidikan Sarawak, di sini sebentar tadi. Di JOHOR BAHRU, jumlah pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2016 di negeri ini menunjukkan penurunan iaitu 1,015 orang berbanding 1,099 orang pada 2015. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Azman Adnan, berkata daripada jumlah itu, seramai 13 pelajar (0.03 peratus) calon mendapat semua A+ bagi mata pelajaran diduduki berbanding 27 calon (0.06 peratus) tahun sebelumnya. Katanya, sebilangan besar pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang terdiri daripada calon menduduki sembilan, 10 dan 11 mata pelajaran. “Indeks Gred Purata Nasional (GPN) yang dicapai tahun lalu adalah 4.94 mata mengatasi pencapaian GPN Nasional iaitu 5.10 peratus,” katanya pada sidang media di sini hari ini. Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Johor Bahru muncul paling ramai pelajar SPM 2016 memperoleh semua A iaitu 59 orang diikuti Sekolah Tun Fatimah (STF) (58 orang) dan Sekolah Menengah Sains Muar (55 orang). Di KUALA LUMPUR, seramai 510 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, menurun berbanding 579 calon pada 2015. Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Foziah Buang, berkata Gred Purata Nasional (GPN) bagi SPM 2016 adalah 4.85 dan tidak berubah dengan tahun 2015. “Sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang ini terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan sepuluh mata pelajaran di sekolah masing-masing. “Keputusan peperiksaan SPM pada 2016 menunjukkan sebanyak 29 daripada 60 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi, 29 mata pelajaran mencatatkan penurunan manakala dua mata pelajaran yang tidak berubah,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi. Foziah berkata, seramai 14,830 calon iaitu (85.74 peratus) layak dianugerahkan SPM berbanding 15,354 (84.83 peratus) calon pada 2015. “Tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Pendidikan Islam dan Sains menunjukkan peningkatan prestasi iaitu masing-masing meningkat sebanyak 0.19 mata, 0.35 mata dan 0.31 mata. “Mata pelajaran Bahasa Inggeris kekal dengan GPMP sebanyak 5.04 mata. Mata pelajaran teras menunjukkan penurunan ialah Pendidikan Moral sebanyak 0.72 mata, Sejarah 0.17 mata dan Matematik sebanyak 0.26,” katanya. Di SEREMBAN, seramai 499 atau 3.30 peratus calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di negeri ini, memperoleh A bagi semua mata pelajaran. Daripada jumlah itu, sembilan calon mendapat A+ bagi semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Rusni Ab Jalil, berkata seramai 15,129 calon mengambil peperiksaan itu di sebanyak 112 sekolah tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 531 orang, berbanding 15,660 calon pada tahun sebelumnya. “Gred Purata Negeri (GPN) adalah 4.79, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.11 mata berbanding 4.90 pada tahun 2015. “Selain itu, seramai 12,974 calon atau 85.8 peratus layak menerima sijil, berbanding 13,262 calon atau 84.7 peratus pada tahun 2015,” katanya pada sidang media di pejabat Jabatan Pendidikan negeri di sini, hari ini. Katanya, pencapaian GPN calon di bandar meningkat sebanyak 0.11 mata, iaitu 4.76 pada tahun 2016, berbanding 4.87 pada tahun sebelum itu, manakala pencapaian calon di luar bandar turut meningkat sebanyak 11 mata iaitu 4.84 pada tahun 2016 berbanding 4.95 pada 2015. Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dalam satu kenyataan, mengumumkan Negeri Sembilan, berada pada kedudukan kedua pencapaian terbaik SPM 2016, selepas Putrajaya. Beliau turut mengumumkan Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di Bandar Enstek, muncul sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) terbaik di seluruh negara, manakala Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir dan Sekolah Menengah Sains Perempuan Seremban di sini, masing-masing (kelima) dan (kelapan). Di KUANTAN, seramai 269 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Pahang memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail berkata, jumlah itu menurun berbanding 306 calon yang peroleh keputusan cemerlang pada tahun 2015. “Walaupun jumlah (pelajar cemerlang) menurun, namun secara keseluruhannya calon SPM di Pahang merekodkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) lebih baik iaitu 4.88 berbanding 5.10 di peringkat nasional. “Bilangan pelajar layak mendapat sijil dan lulus semua mata pelajaran pada tahun 2016 ialah 16,493 orang (86.74 peratus) turun berbanding 16,831 calon (87.19 peratus) pada tahun sebelumnya. “Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan turut terpilih sebagai sekolah cemerlang bagi SPM 2016 dengan merekodkan 100 peratus lulus dengan nilai gred purata sekolah (GPS) 2.24,” katanya dalam sidang media di SMK Sultan Abu Bakar, dekat sini, sebentar tadi. Di GEORGETOWN, seramai 656 calon daripada 19,593 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Pulau Pinang mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran. Jumlah itu menurun berbanding 725 calon atau 3.65 peratus daripada 19,849 calon memperoleh keputusan sama pada 2015. Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Shaari Osman, berkata bagaimanapun jumlah peratusan layak mendapat sijil meningkat sebanyak 2.1 peratus, dengan peratus keseluruhan 82.8 peratus. “Pencapaian calon luar bandar bagi peratusan layak mendapat sijil meningkat iaitu 81.8 peratus berbanding hanya 79.2 peratus pada tahun lalu. “Bagaimanapun, calon bandar pada SPM 2016 yang memperoleh keputusan cemerlang terus mendominasi dengan jumlah seramai 391 orang, berbanding hanya 265 daripada calon luar bandar,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Tunku Puan Habshah di sini, pagi tadi. Di JITRA, seramai 406 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Kedah mencatat keputusan semua A (cemerlang) iaitu menurun 0.14 peratus berbanding 446 calon pada 2015. Pengarah Pendidikan Kedah, Datuk Azuyah Hassan, berkata keseluruhan pencapaian indeks Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 5.20 mata berbanding 5.23 pada 2015 iaitu peningkatan sebanyak 0.03 mata. “Seramai 34 calon memperoleh gred A+ dan A (cemerlang tertinggi) bagi semua mata pelajaran diduduki, manakala hanya 12 buah sekolah mendapat Gred Purata Sekolah (GPS) bawah tiga mata. “Berdasarkan GPN pencapaian calon bandar meningkat pada 2016 iaitu 5.04 mata berbanding 5.12 mata pada 2015. “Pencapaian calon luar bandar tiada perubahan dari segi GPN iaitu 5.52 mata pada 2015 dan 2016,” katanya pada sidang media keputusan SPM di SMK Sultan Abdul Halim di sini, hari ini. Di AYER KEROH, seramai 244 iaitu 1.95 peratus daripada 14,766 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Melaka memperoleh keputusan cemerlang semua A, menurun berbanding 280 calon pada 2015. Bagaimanapun, seramai 10,818 iaitu 86.6 peratus pelajar daripada 12,515 pelajar Sekolah Kementerian Pendidikan di negeri ini yang menduduki peperiksaan berjaya mendapat sijil SPM, meningkat 0.7 peratus, berbanding 85.7 peratus pada 2015. Di KOTA BHARU, seramai 250 daripada 31,267 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran, di negeri ini. Pengarah Jabatan Pendidikan negeri (JPN), Jaafar Ismail, berkata jumlah itu mewakili 1.07 peratus keseluruhan calon sekolah kerajaan. Jaafar berkata, Gred Purata Negeri (GPN) 2016 adalah 5.09 berbanding pencapaian Gred Purata Nasional 5.10 iaitu mengatasi peringkat nasional sebanyak 0.01 mata. “Jika dibandingkan dengan 2015, GPN adalah 5.03 dan ia menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 0.06 mata, bagaimanapun ia masih dalam julat yang normal. “Sebanyak 49 sekolah menunjukkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengatasi GPN dan 68 sekolah menunjukkan peningkatan GPS,” katanya. Lima sekolah terbaik di Kelantan yang mencatat GPS tertinggi adalah Sekolah Menengah (SM) Sains Tengku Muhammad Faris Petra (1.81); SM Sains Jeli (2.35); SM Sains Machang (2.39); SM Sains Pasir Puteh (2.56) dan SMK Kubang Bemban (2.60). Di SHAH ALAM, seramai 1459 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 di Selangor mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, menurun 170 berbanding 1,629 calon yang mendapat keputusan sama pada 2015. Pengarah Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim, berkata Gred Purata Negeri (GPN) bagi SPM 2016 meningkat kepada 5.05 mata berbanding 5.06 yang direkodkan pada 2015. Mengumumkan demikian pada sidang media di sini sebentar tadi, Salleh berkata, Gred Purata Sekolah (GPS) calon luar bandar dengan luar bandar juga mengecil dengan jurang 0.29 berbanding 0.41 dalam SPM 2015. “Seramai 21 calon mendapat semua A+ dalam semua mata pelajaran diduduki pada SPM 2016. “Jumlah calon yang layak mendapat sijil SPM adalah seramai 55,834 (83.29 peratus) berbanding 56,052 calon (83.03 peratus) pada tahun 2015.” katanya. Seramai 75,158 calon sekolah kerajaan, swasta dan persendirian menduduki peperiksaan itu tahun lalu di Selangor, berbanding 75,720 pada 2015. Di KANGAR, seramai 59 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perlis mencatat keputusan semua A, sekali gus meningkat berbanding 41 calon pada tahun sebelumnya. Pengarah Pendidikan Negeri, Izmi Ismail, berkata selain peningkatan 1.67 peratus dalam jumlah calon semua A, Perlis turut merekodkan kenaikan 0.12 dalam Gred Purata Negeri (GPN) iaitu 5.29 pada 2016 berbanding 5.41 pada 2015. Beliau berkata, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma Kangar mencatatkan bilangan tertinggi pelajar peroleh semua A di negeri ini iaitu seramai 28 orang. “Bilangan calon yang menduduki peperiksaan SPM 2016 ialah seramai 3,623 orang dan 59 daripadanya lulus dengan cemerlang. “Lima sekolah terbaik negeri ialah SMK Derma, SMK Sains Tuanku Syed Putra, SMK Agama Perempuan Kangar, SMK Agama Arau dan SMK Tuanku Lailatul Shahreen,” katanya ketika sidang media di sini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/260650

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *